DI sebalik spekulasi hangat yang mendakwa pejabat serantau FIFA bakal dipindahkan ke Jakarta, badan induk bola sepak dunia itu tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan ibu pejabat mereka di KL Eco City kekal beroperasi seperti biasa.

Menurut sumber terdekat FIFA, tiada sebarang perancangan untuk memindahkan pejabat serantau itu ke Indonesia, sekali gus menafikan dakwaan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan. Malah, pejabat yang telah menjadi nadi kepada operasi pembangunan FIFA di Asia dan Oceania sejak 2018 itu akan terus berfungsi seperti sediakala.

Untuk rekod, pejabat FIFA di Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘FIFA Forward Programme’ dan kini diketuai oleh Pengarah Wilayah Asia-Oceania, Sanjeevan Balasingam. Pejabat ini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan teknikal dan infrastruktur bola sepak serantau, termasuk pengurusan kontrak, program akar umbi dan pemantauan projek dibiayai FIFA.

Penafian ini sekali gus menamatkan khabar angin yang kononnya operasi FIFA di Kuala Lumpur dan Singapura akan digabungkan ke ibu negara Indonesia menjelang September ini. Sebaliknya, Kuala Lumpur kekal sebagai salah satu hab strategik FIFA di rantau ini, memperkukuh kedudukannya dalam landskap pembangunan bola sepak antarabangsa.

 

ARTIKEL BERKAITAN