KETUA Jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares menganggap penglibatan kelab kendaliannya di Piala AFC bukan hanya mewakili kelab tetapi mewakili seluruh Indonesia.

Malah Tavares mahu bersikap realistik dengan harapan serta sasaran apabila beraksi dalam peringkat Kumpulan H, Piala AFC 2022 di Kuala Lumpur bermula Jumaat ini.

Tavares yang mempunyai pengalaman menjadi jurulatih dalam kempen AFC ini juga mahu melakukan yang terbaik meskipun dalam fasa pembentukan semula kelab dan gembira dengan sikap yang ditunjukkan para pemainnya.

“Penglibatan PSM Makassar dalam Piala AFC kali ini bukan hanya membawa nama kelab tetapi kami juga membawa nama Indonesia dan kejohanan ini penting untuk kami membantu menaikkan ranking Indonesia dengan memungut mata.

“Kami juga perlu bersikap realistik. Pasukan ini nyaris tersingkir dari Liga 1 musim lalu dan ramai pemain utama telah berpindah. Kami terpaksa mengambil pemain dari Liga 2 dan Akademi namun saya gembira dengan sikap para pemain dan bersama-sama kami mampu melakar kejutan.

“Kami akan cuba lakukan yang terbaik. Pemain agak keletihan kerana dari perlawanan Piala Presiden namun ianya bukan penghalang buat kami untuk bersedia dengan baik menjelang perlawanan Jumaat ini.

“Kuala Lumpur sudah tentu mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. Mereka mempunyai skuad yang bagus dengan pemain tempatan dan antarabangsa yang baik. Namun saya menganggap ianya satu lagi perlawanan 11 bertemu 11 dan yakin kami mampu memberi kejutan,” ujarnya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan pada Rabu.

Sementara itu, kapten pasukan Wiljan Pluim tidak meletakkan sebarang sasaran dan mahukan rakan sepasukan beraksi baik meskipun melibatkan banyak muka baru dalam pasukan.

Dia juga mengakui tidak banyak mengetahui tentang Kuala Lumpur dan menganggap tuan rumah tidak mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dan akan memberikan persembahan 100 peratus.

“Bagi saya mentaliti setiap pemain adalah bagus. Walaupun banyak pemain baru namun saya mempunyai perasaan yang baik tentang kemampuan pasukan ini. Kami akan memberikan segala-galanya untuk kempen Piala AFC ini.

“Kami tidak tahu banyak tentang pasukan di luar Indonesia. Bagi kami ianya satu lagi pasukan baharu buat kami dan kami sudah melakukan persiapan dengan baik dan kita akan perhatikan sama ada ianya mencukupi pada perlawanan Jumaat ini,” ujarnya.

PSM Makassar bakal berhadapan Kuala Lumpur City pada Jumaat ini sebelum melengkapkan kempen Piala AFC menentang Tampines Rovers tiga hari kemudiannya.