KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) sedang memantau insiden pergaduhan antara penyokong Thailand dan Malaysia yang berlaku selepas perlawanan Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam tadi.

Dalam aksi tersebut, skuad Gajah Perang berjaya menewaskan Harimau Malaya dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Patrik Gustavsson pada babak kedua.

Selepas perlawanan, pergaduhan tercetus melibatkan sekumpulan penyokong Thailand, yang dikenali sebagai “casual” dan hooligans, menyerang penyokong Malaysia yang sedang meninggalkan stadium.

Insiden ini mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga individu cedera, dengan seorang mangsa terpaksa dibawa ke Hospital Samitivej Srinakarin untuk rawatan lanjut, termasuk imbasan CT. Kos rawatan mangsa ditanggung oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, menjelaskan bahawa kejohanan ini berada di bawah tanggungjawab Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF). Namun, beliau berharap kejadian seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Perlawanan ini di bawah AFF, bukan AFC. Saya belum menerima laporan, jadi tidak dapat mengulas lanjut. Harap perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya ketika dihubungi.

Menurut laporan media Thailand, pergaduhan dipercayai berpunca daripada provokasi oleh penyokong tuan rumah. Pihak berkuasa Thailand segera menutup pintu keluar penyokong Malaysia untuk memastikan keselamatan mereka sehingga keadaan kembali terkawal.

FAT turut mengecam kejadian ini dan memberi komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat punca insiden.

Insiden ini mengundang perhatian ramai peminat bola sepak di rantau ASEAN, yang menggesa agar langkah keselamatan lebih ketat dilaksanakan pada masa akan datang untuk memastikan keselamatan penyokong di stadium.