PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berharap empat perlawanan pramusim di Thailand bermula 8 Februari 2023 akan memberikan jawapan yang dicari mengenai pasukan kepadanya sebelum musim liga bermula.
Walaupun akan berhadapan dua pasukan divisyen dua Thailand, namun Steinbruckner tidak memandang rendah cabaran lawan sebaliknya dia mahu para pemain menunjukkan aksi yang baik seperti yang dimahukan oleh barisan kejurulatihan.
“Kami akan bermain empat perlawanan bermula 8 Februari dengan dua perlawanan awal bertemu pasukan divisyen dua Thailand dan kemudiannya dua perlawanan yang sukar menentang kelab Denmark dan satu kelab dari Liga Thailand.
“Saya masih mempunyai dua hingga tiga dilema mengenai siapa yang bakal memulakan perlawanan dan saya berharap ianya akan memberikan jawapan mengenai pasukan ini dan siapa yang akan menjadi kesebelasan utama sebelum aksi Liga Super bermula.
“Pasukan akan bertemu dua kelab yang sukar pada dua perlawanan terakhir tetapi meskipun kita akan menentang lawan Divisyen 2 pada dua perlawanan awal namun ianya perlu dipandang serius kerana saya menuntut aksi yang baik daripada pemain kerana itu adalah matlamat utama kami kesini.
Skuad Penyu bakal behadapan kelab Rajpracha FC dan Bangkok FC sebelum bertemu wakil Denmark, Odense FC dan kelab Liga 1 Thanks Chonburi FC dan Steinbruckner juga mahu memastikan semua pemain tidak mengalami sebarang kecederaan dan dapat memanfaatkan peluang untuk menunjukkan aksi terbaik.
Terengganu bakal memulakan cabaran dalam Liga Super dan merebut Piala Sumbangsih bertemu juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri dan terus ke Alor Setar bertemu Kedah Darul Aman FC sebelum kembali ke Gong Badak melayani kunjungan Kuala Lumpur City FC.