KELAB Chelsea dikhabarkan mengintai khidmat pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling bagi memperkuat barisan sayap The Blues musim depan.

Pun begitu, pemain tersebut masih belum membuat keputusan meskipun tempoh kontraknya hanya tinggal 12 bulan.

Sterling,27, berjaya menarik minat banyak kelab dari luar England namun Chelsea tetap optimis mampu berunding dengan Sterling untuk mendapatkan khidmatnya dalam skuadnya.

Pemain tersebut hanya berada di bangku simpanan dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan City tewas kepada Real Madrid.

Dalam pada itu, dia berjaya menjadi ‘playmaker’ dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris apabila membantu City bangkit setelah ketinggalan 0-2 kepada Aston Villa dan berjaya mencetus gerakan yang menyumbang kepada gol pertama yang dihasilkan Ilkay Gundogan.

Untuk rekod, dia berjaya menjaringkan 13 gol dalam 30 penampilannya bersama City dalam Liga Perdana Inggeris dan merangkul gelaran keempatnya dalam liga bersama kelab tersebut.