PASUKAN Johor Tigris meraih kemenangan sulung dalam saingan Sepak Takraw League (STL) Premier 2024 Grand Prix Perak selepas berjaya menumpaskan Bomba Fighters 2-0 (15-8, 15-8).
Pasukan kendalian Jamaluddin Hassan gagal untuk mengutip sebarang kemenangan dalam dua Grand Prix sebelum ini (GP Selangor dan GP Terengganu) dan mereka ingin menamatkan kemarau itu di Ipoh.
Mereka yang sebelum ini tumpas 2-1 kepada pasukan KPT-MASUM Knights dalam perlawanan pertama kumpulan A GP Perak tekad untuk memberikan persembahan yang berbeza pada petang ini.
Hasilnya, gandingan Udomsak Nakhowong (tekong), Mohd Syahmi Syazwan (apit kanan) dan Muhd Lutfil Hadi Azmi (apit kiri) berjaya untuk memberikan persembahan yang memberangsangkan untuk hadiahkan pasukan dan penyokong Johor kemenangan pertama musim ini.
Lebih manis lagi, kemenangan sulung ini membolehkan Johor Tigris untuk layak ke suku akhir esok sekaligus memberikan peluang untuk mereka mara lebih jauh di GP Perak.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung pada waktu petang, pasukan Terengganu Turtles tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Negeri Sembilan Antlers dengan keputusan 2-0 (15-12, 15-12).