PENDAHULU Sepak Takraw League (STL) Premier 2024, Kuala Lumpur Thunder mencipta hatrik mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Perak Bison dalam separuh akhir pertama Grand Prix (GP) Perak.
Pasukan KL Thunder membariskan pemain terbaiknya iaitu Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan).
Perak Bison pula yang turun sebagai tuan rumah meletakkan Meor Zulfikar (tekong), Asyraaf Hadi (apit kiri) dan Treepong Rawangpai (apit kanan).
Beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh pasukan tuan rumah dalam set pertama sekaligus memberikan KL Thunder kelebihan untuk mencapai mata ke-10 terlebih dahulu.
Walaupun percaturan Dzafril Anuar dengan membawa masuk Noraizat Nordin membuahkan hasil, namun sudah terlambat untuk bangkit apabila terpaksa akur untuk tewas 7-15.
Kuala Lumpur Thunder yang juga menjuarai GP Selangor dan GP Terengganu mengekalkan momentum pada set kedua selepas percaturan Perak serba tidak menjadi dan bergelut untuk mengheret KL ke set penentuan dan tewas 10-15 dalam tempoh 30 minit.
Menanti KL Thunder dalam perlawanan akhir GP Perak ialah ATM Guardians atau Selangor Pistons yang bakal berlangsung jam 9 malam ini.