FOTO : Malaysian Football League

KETUA jurulatih skuad Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mencuba beberapa kombinasi ketika menentang Kelantan FC tetapi paling ketara di bahagian serangan.

Fandi menggandingkan pemain tengah, Azam Azih sebagai penyerang kedua bersama Kpah Sherman dan hasilnya mereka beraksi cemerlang meraih kemenangan bergaya 4-1 di Kuantan.

Kesemua jaringan Tok Gajah dihasilkan pada 45 minit pertama menerusi  import baru mereka dari Liberia, Kpah Sherman diikuti gol Kevin Ingreso, Sergio Aguero dan Stefano Brundo.

“Kombinasi cukup baik terutama di depan kerana kita tukar Azam dari posisi tengah ke second striker No 10 macam playmaker. Dia banyak buka ruang pemain lain.

“Kita juga letak Sergio Aguero sebelah kanan yang dilihat banyak melakukan gelecekan dan buka ruang permainan.

“Babak pertama memang sangat berbeza berbanding babak kedua khususnya hantaran yang bermaya. Cuma saya tak puas hati babak berikutnya. Ada pemain tak nak buat larian tapi keseluruhan aksi saya gembira kombinasi baharu ini.

“Kevin juga tidaklah cergas 100 peratus dan dia dikeluarkan kerana ada isu kecederaan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Sekurang-kurangnya lima pemain Fandi mengalami masalah kecederaan termasuklah penjaga gawang, Izham Tarmizi berada dalam senarai terbaharu.

Sementara itu, Fandi merendah diri dan menyifatkan Sri Pahang musim ini adalah underdog jika dibanding pasukan elit seperti Johor Darul Ta’zim, Kedah, Terengganu dan Selangor.

Dia juga berterima kasih kepada penyokong yang hadir dan memberitahu para pemain supaya jangan menghampakan harapan menggunung dan ianya terbalas dengan meraih tiga mata.

ARTIKEL BERKAITAN :  Tok Gajah ‘naik minyak’ di Kuantan, Kelantan jadi mangsa