SRI Pahang FC melakar kemenangan sensasi 4-1 selepas menewaskan Kelantan FC dalam aksi klasik derby pantai timur di Stadium Darul Makmur pada Khamis.
Beraksi atas padang berat dan hujan, Pahang tidak perlu menunggu lama apabila import baru mereka dari Liberia, Kpah Sherman meledak gol pertama minit ke-12 permainan untuk memulakan pesta gol skuad Tok Gajah di Kuantan.
Kevin Ingreso kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-38, sebelum Sergio Aguero dan Stefano Brundo melebarkan jurang buat Pahang untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada separuh masa pertama.
💥 Kpah Sherman telah membuka akaun gol bersama Sri Pahang FC!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/8FqpyOz4ts
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 2, 2023
Bersambung babak kedua, Kelantan yang ketinggalan berusaha untuk merapatkan jurang gol dengan sesekali melancarkan serangan.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-76 apabila Fazrul Amir melakukan percubaan dalam kotak penalti namun berjaya ditepis Zarif Irfan.
Tiga pertukaran serentak dibuat Fandi Ahmad pada baki 10 minit permainan dan pasukan tuan rumah mula mengendurkan tempo permainan sehingga tiupan wisel penamat.
Pelawat akhirnya memperoleh jaringan saguhati melalui tolakan Miguel Cifuentes pada masa kecederaan.
Dengan kemenangan itu, misi Sri Pahang mengutip tiga mata di laman sendiri menjadi kenyataan.