PENGANJURAN edisi pertama Sukan Masters 2024, menerima sambutan baik apabila lebih separuh daripada had penyertaan diterima.
Kejohanan yang akan berlangsung 21 hingga 24 November, menerima lebih 1,000 penyertaan dan dijangka mencapai sasaran 3,300 peserta sebagaimana ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pendaftaran dibuka pada 21 Oktober hingga 12 November, itu bagaimanapun hanya memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 peserta untuk menjalankan acara berbentuk karnival itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, Jefri Ngadirin berkata, 12 jenis sukan, merangkumi 51 acara dan 36 kategori umur, menawarkan 998 pingat.
Acara ini selaras dengan inisiatif kerajaan Madani untuk menggalakkan golongan berusia 40 tahun ke atas menjalani gaya hidup aktif dan sihat.
Antara sukan yang dipertandingkan termasuk renang, badminton, berbasikal, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, sepak takraw, e-sukan, pickleball, dan petanque. Karnival ini akan berlangsung di tiga lokasi utama: Kompleks Sukan Bukit Jalil, Putrajaya, dan Kuala Lumpur.
Jefri turut mengajak semua yang berminat untuk mendaftar dan merasai pengalaman bertanding, sambil membina jaringan dan mempererat hubungan melalui sukan. “Ini adalah peluang untuk merasai sendiri keseronokan bertanding seperti dialami oleh para atlet,” katanya.