KETUA Jurulatih skuad bolasepak Bawah 23 (B-23) kebangsaan, Brad Maloney mengakui Thailand dan Laos mampu memberi cabaran sengit pada aksi saingan Kumpulan B Sukan SEA 2021, Vietnam.
Maloney yang kembali menemui pemain-pemainnya selepas bercuti menyambut Aidilfitri (Isnin) pada sesi latihan terakhir hari ini.
“Thailand sebuah gergasi bola sepak Asia Tenggara. Dan begitu juga dengan Laos yang semakin meningkat naik, berdepan dengan perlawanan sukar ketika Piala AFF baru-baru ini.
“Saingan peringkat kumpulan nanti (Sukan SEA) juga sukar tetapi saya menjangkan kita akan lebih jadi kompetitif selepas menjalani beberapa siri latihan serta perlawanan persahabatan,” katanya ketika ditemui media pada Selasa.
Sementara itu, mengenai senarai penuh pemain-pemain sebelum berangkat ke Sukan SEA, Maloney enggan mendedahkan sepenuhnya.
Bagaimanapun dia memberitahu beberapa nama seperti Mukhairi Ajmal, Nik Akif Syahiran, Azrin Afiq, Azri Abd Ghani, Zikri Khalili serta Aliff Haiqal antara yang mungkin berada dalam barisan akhir.
“Saya percaya mereka antara yang berada dalam barisan utama pemain,” jelasnya ringkas.
Skuad bola sepak negara diundi dalam kumpulan B bersama Thailand, Laos, Kemboja dan Singapura manakala Kumpulan A dibarisi Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Timor Leste.
Kejohanan dwitahunan ini bakal menjadi medan persiapan terbaik skuad bawah-23 negara sebelum ujian sebenar dalam Piala AFC B-23 yang bakal berlangsung di Uzbekistan.