PEMAIN bek tengah skuad Piala Belia PJ City, Oswind Lim  (tengah) berjaya memecah dominasi pemain dari skuad pembangunan Selangor, Johor Darul Ta’zim dan Akademi Mokhtar Dahari apabila dipilih sebagai salah seorang daripada 23 pemain ke Mongolia untuk Kelayakan Piala Asia AFC B-20 Tahun.

Pemain berketurunan Cina yang mempunyai fizikal yang baik sebagai seorang pertahanan ini berbangga kerana dapat mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan mahu menjadi inspirasi kepada pemain muda yang lain.

Dia mengakui merasai tekanan tetapi dia hanya mahu menikmati permainan bola sepak dan akan bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama jika diberikan peluang oleh barisan kejurulatihan.

“Saya berbangga dapat mewakil negara. Ini adalah impian sejak saya mula bermain bola sepak. Saya akan berikan komitmen sepenuhnya dan berjuang untuk negara serta berharap dapat layak ke Piala Asia di Uzbekistan tahun hadapan.

“Tekanan pasti ada tetapi saya perlu ‘enjoy football’ untuk membantu keluarga saya serta saya mahu menjadi inspirasi kepada pemain terutama pemain dari PJ City. Ini kerana skuad kami termasuk skuad Liga Super diwakili pemain tempatan dan membuktikan kita juga mempunyai kualiti dan mampu pergi lebih jauh.

“Pada awalnya saya sedikit sukar untuk mengadaptasi kerana sesi latihan yang berbeza berbanding di kelab tetapi kini saya berjaya menyesuaikan diri. Saingan pada posisi ini sangat kompetitif dan ianya baik kerana dapat meningkatkan prestasi pemain untuk berada pada tahap yang terbaik apabila diperlukan untuk bermain.

“Saya yakin dengan pasukan dan mahu memberikan saingan pada pusingan kelayakan ini sekaligus layak ke Piala Asia tahun hadapan,” katanya kepada media.

Ketua Jurulatih Bawah 19  (B-19) Negara, Hassan Sazali Waras pula berkata pemilik Oswind adalah disebabkan fizikalnya yang tegap selain dia mempunyai banyak minit permainan bersama kelabnya di dalam kejohanan Piala Belia.