PESILAT wanita negara, Siti Shazwana Ajak optimis mengekalkan pingat emas dalam temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam kali ini.

Tampil sedikit berbeza, Siti Shazwana atau lebih mesra digelar Wana kali ini akan bertanding dalam silat olahraga kategori Putri E (65-70kg)  berbeza daripada kategori D (60-65kg) yang disertainya pada edisi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan kilauan emas berjaya dibawa pulang.

Biarpun beraksi dalam acara berbeza, Wana mengakui dia telah bersedia sepenuhnya dari segi aspek fizikal dan mental untuk mengulangi kilauan emas yang dimenanginya pada temasya yang berlangsung di Kuala Lumpur lima tahun lalu.

“Sasaran saya, secara peribadi ingin mengekalkan pingat emas seperti Sukan SEA KL 2017.

“Memandangkan ini adalah Sea Games yang Ke-2 saya , saya beraksi dalam kategori berat yang berbeza,” kongsinya penuh bersemangat.

Mengimbas kembali kariernya sebagai atlet negara, Wana memberitahu kejayaan hari ini adalah sokongan penuh daripada keluarganya.

Family is my backbone. Walaupun mereka jauh tapi mereka sentiasa ada dengan Wana untuk memberi sokongan dan sentiasa mendoakan Wana sepanjang dlm karier sukan.

“Sering bertanyakan prestasi atau perkembangan semasa Wana adalah salah satu cara dorongan mereka terhadap Wana,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Shazwana yang kini melanjutkan pengajian dalam ‘Masters in Public Management’ di Universiti Utara Malaysia turut cemerlang dalam sukan apabila meraih gangsa pada Kejohanan Dunia 2018,  perak Kejohanan Asia 2019 selain merangkul emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Kejohanan Silat Belgium 2017 -2019, Kejohanan Silat Uzbekistan 2019-2020, Kejohanan Silat Malaysia 2019 dan Sukan Asia 2018.