PERSATUAN Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) memutuskan secara rasmi hubungan dengan Datuk Razlan Razali, pada Ahad.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ahli jawatankuasa persatuan terbabit hari ini, yang membincang serta melakukan undian terhadap surat peletakan jawatan Razlan yang dikemukakan pada 16 Mac lalu.

Pemangku presiden, Firdaus Arshad berkata, lapan daripada sembilan ahli jawatankuasa mengundi untuk menerima peletakan jawatan Razlan, sekali gus sebulat suara melantik Firdaus sebagai pemangku presiden untuk PBKL.

Mesyuarat ahli jawatankuasa PBKL menyaksikan majoriti menerima peletakan jawatan Datuk Razlan Razali dengan undi 8-1.

“Majoriti menerima peletakan jawatan itu dan hanya seorang menyuarakan pendapat berbeza,” kata Firdaus, dalam sidang media di pejabat PBKL.

Hasil undian 8-1 itu bermakna, ahli jawatankuasa sebulat suara mengundi untuk menolak tiga calon yang dinamakan bekas presiden itu.

“Bermula hari ini, Datuk Razlan secara rasmi tiada kaitan dengan persatuan.

“Apa juga protes boleh terus ditujukan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan kami bersedia untuk menjawabnya.”

Pada 25 Februari lalu, Razlan tanpa dicabar dipilih sebagai Presiden PBKL namun meletakkan jawatannya berikutan kecewa terhadap ahli jawatankuasa yang didakwanya enggan segera menangani isu yang timbul.

Timbalan Presiden PBKL dipilih memangku jawatan presiden tanpa ditetapkan tempohnya.

Ibu bapa bekas pelumba PBKL mendakwa wujud isu perkauman, pecah amanah dan salah guna dana daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), dalam persatuan itu beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, ibu bapa pelumba juga mendakwa pihak persatuan enggan bertemu untuk mendengar keluhan mereka.

Namun, Firdaus dan juga jurulatih, Datuk Ng Joo Ngan menafikan segala dakwaan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Razlan sedia kembali pimpin KLCA, kata putus milik 13 AJK tertinggi esok

Datuk Ng Joo Ngan tidak relevan, KLCA dilapor ke SPRM

Ibu bapa dan pelumba bersama Datuk Razlan Razali, pada sidang media di ibu negara, pada Sabtu.

Sebelum ini, Flash Sukan melaporkan bahawa Razlan sedia kekal dalam persatuan biarpun selepas tindak tanduknya menimbulkan ketegangan dalam kalangan ahli jawatankuasa berkaitan isu terbabit.

“Kami menerima surat daripada MSWP bertarikh 22 Mac yang meminta penjelasan berkaitan aduan ibu bapa.

“Kami diberi tempoh tujuh hari untuk menjaab dan kami akan memberi maklumat yang mereka mahukan.

“Selepas menjawab surat itu, baharulah pihak kami akan mencari tarikh sesuai untuk membincangkan isu dibangkitkan, bersama ibu bapa,” kata Firdaus.