FOTO : Hokita
SKUAD hoki lelaki remaja kembali menjalani rutin latihan selepas bercuti sempena Aidilfitri dan kini memberi tumpuan 100 peratus atas padang sebelum berlepas ke Kemboja.
Pasukan bimbingan Muhammad Amin Rahim itu tampak bersemangat dalam misi mengekalkan status kuasa besar hoki Sukan SEA dengan menyenaraikan empat pemain senior.
Edisi kali ini kelibat pemain senior, Muhamad Ramadan Rosli, Muhamad Zaimi Mat Deris serta Muhammad Najib Abu Hassan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar akan turun memperkukuhkan keampuhan pasukan negara.
Ini kerana, senarai akhir masih belum dimuktamadkan lagi dan kesemua pemain berpeluang meraih tempat terakhir nanti.
Jelas, nampak kesungguhan pemain Speedy Tigers yang mempamerkan usaha keras kerana sedar misi kali ini adalah mendapatkan pingat emas.
Bukan itu sahaja, kemenangan di Kemboja kelak akan membakar semangat buat kem hoki senior dalam misi melayakkan diri ke Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Skuad hoki negara merupakan kuasa besar di temasya Sukan SEA dengan memegang rekod memenangi 16 pingat emas sejak 1971.