SKUAD Remaja Wanita Kebangsaan menjadikan Jelajah Singapura bermula semalam (3 Ogos) sebagai platform persediaan memperkemaskan pasukan sebelum ke Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China dari 4 hingga 13 September ini.

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan, mereka terpaksa mencari alternatif baru selepas Korea Selatan pada saat akhir membatalkan perancangan untuk turun ke Kuala Lumpur.

Perubahan jadual Piala Remaja Asia yang awalnya diadakan hujung tahun tetapi diawalkan ke September selain faktor Sukan Malaysia (SUKMA) akan berlangsung bulan ini menyebabkan tempoh persiapan mereka agak terhad.

“Kita sebenarnya merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan lebih kuat seperti Korea Selatan. Namun, mereka menarik diri pada saat akhir kerana mempunyai kejohanan domestik serta kekangan bajet.

“Jadi persiapan kita berubah. Daripada merancang menghadapi pasukan yang lebih kuat, kita gunakan peluang untuk menentang pasukan senior Singapura dan lihat bagaimana bermain menentang lawan yang berada di bawah ranking kita.

“Singapura bermain secara berstruktur. Mereka bertahan dan menyerang secara berpasukan, sama seperti pasukan di peringkat antarabangsa. Itu yang dimahukan pasukan dalam persiapan ini.

“Keputusan bukan keutamaan saya tetapi perkembangan corak permainan pemain dan keberkesanan struktur serangan pasukan dalam empat perlawanan di Singapura,” katanya.

Nasihin membawa 20 pemain ke Singapura, manakala tiga lagi pemain seperti, Nur Zariefah Dania Mazlan, Nur Hanie Najwa Tarmizi dan Iman Adawiyah Mohd Suhaimi diberikan rehat selepas baru pulang daripada Jelajah Eropah bersama skuad senior.

Menurutnya, ini adalah peluang terbaik buat mereka menunjukkan kemampuan untuk merebut tempat ke Piala Remaja Asia nanti yang merupakan pusingan kelayakan ke Piala Dunia Remaja.

“Skuad kali ini juga sangat muda, ramai pemain berusia 18 tahun, malah kita ada tujuh pemain yang baru berumur 16 tahun. Ini menunjukkan kita sedang membina pasukan untuk jangka masa panjang,” katanya.