KETUA Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Hanif Che Halim menjelaskan tiada istilah pilih kasih dalam memilih kelompok 12 pemain yang akan beraksi pada temasya Sukan SEA Kemboja kali ini.
Jelasnya, pemilihan jitu serta hanya pemain yang memberikan komitmen sepenuhnya akan diberi peluang untuk berada dalam pasukan yang bakal berentap di temasya dwitahunan tersebut.
Pemilihan skuad kebangsaan akan dibuat selepas skuad yang berada di kem latihan sedia ada menjalani beberapa perlawanan persahabatan di Australia bermula 9 hingga 19 April depan.
“Tempat untuk berada dalam skuad adalah terbuka sebab yang kita tarik masuk pemain semua yang begitu strong, balik dari tour (perlawanan persahabatan) baharu kita kecilkan kepada 12 orang.
“Kita akan betul-betul pilih yang beri komitmen seratus peratus,” katanya semasa lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Mohd Nasir Ali di Phnom Penh, Kemboja ke sesi latihan skuad berkenaan di UTC Sentul.
Dalam pada itu, jurulatih tersebut memaklumkan seramai lapan orang pemain Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 berada dalam kem latihan Sukan SEA, Kemboja itu.
Sebagai rekod, pasukan hoki dalam dewan lelaki negara mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 dengan menewaskan juara bertahan Iran, 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final di Bangkok, Thailand Ogos lalu.