Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) mengorak langkah besar dalam merangka masa depan temasya sukan serantau menjelang edisi ke-34 yang bakal berlangsung di Malaysia pada 2027.

Mesyuarat Persekutuan yang diadakan di Petaling Jaya menyaksikan pelbagai keputusan penting diluluskan bagi meningkatkan standard profesional dan integriti temasya tersebut.

Antara keputusan paling signifikan adalah cadangan untuk menjadi penandatangan Kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), sekali gus menjadikan Sukan SEA 2027 sebagai edisi pertama yang mematuhi piawaian anti-doping global sepenuhnya.

Langkah ini dilihat sebagai perubahan revolusioner yang mampu mengangkat martabat temasya ke tahap lebih tinggi serta memastikan persaingan yang adil dan bersih dan inisiatif tersebut diterajui oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang sebelum ini terkenal dengan peranan besar dalam transformasi sukan serantau sejak 1977.

Selain itu, sebanyak 38 jenis sukan telah diluluskan sebagai senarai awal bagi edisi 2027 dengan peluang masih terbuka untuk penambahan sebelum tarikh akhir ada 8 Mei 2026.

Dalam aspek kesihatan dan keselamatan atlet, jawatankuasa perubatan turut meluluskan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pengurusan temasya berjalan lancar dan usaha memperkasa sukan wanita juga diberi perhatian apabila cadangan untuk mengadaptasi polisi baharu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkaitan perlindungan kategori wanita sedang dipertimbangkan.

Selain itu, kerjasama strategik bersama organisasi pemerkasaan wanita turut dirancang bagi menganjurkan bengkel khas sepanjang temasya berlangsung.

Dalam masa sama, panel timbang tara dan penyiaran turut meluluskan garis panduan masing-masing bagi memastikan pengurusan siaran dan penyelesaian pertikaian berjalan secara profesional.

Dengan pendekatan lebih tersusun dan bertaraf antarabangsa, Sukan SEA di Malaysia dijangka menjadi titik perubahan penting dalam evolusi sukan Asia Tenggara.