PASUKAN Terengganu FC mengumumkan peletakan jawatan Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kelab bagi memberi tumpuan kepada peluang baharu dalam kerjayanya.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak kelab merakamkan penghargaan atas segala jasa, komitmen dan dedikasi beliau sepanjang tempoh perkhidmatan bersama Terengganu FC.
Menurut kenyataan itu, Sheikh Farouk memainkan peranan penting dalam memperkukuh aspek pengurusan kelab selain menyumbang kepada pembangunan pasukan, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Sepanjang hampir lapan bulan bersama kelab, beliau turut membantu memperkemaskan struktur pentadbiran serta memperkukuh hala tuju organisasi.
Dalam kenyataan perpisahannya, Sheikh Farouk menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu FC atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempohnya bersama pasukan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Terengganu FC atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh saya bersama kelab ini. Saya mendoakan kejayaan berterusan buat TFC, Loyalty Never Fades!” katanya.
Terengganu FC turut mendoakan agar beliau terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.
Pihak kelab berharap pengalaman yang diraih sepanjang bersama TFC akan menjadi bekalan berharga buat Sheikh Farouk dalam meneruskan perjalanan kerjayanya.