PERSEDIAAN rapi skuad sepak takraw wanita negara menuju Sukan SEA 2027 dirancang teliti, apabila Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan langkah membawa konsultan dari Thailand sebagai strategi lonjakan prestasi.
Beliau berkata, persetujuan membawa masuk kepakaran itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperkukuh struktur aprogrqm Podium dan pelapis.
“Untuk wanita, kita sudah cadangkan mengambil seorang konsultan dari Thailand untuk membantu dalam beberapa siri kejohanan besar, terutamanya fokus kepada Sukan SEA di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau menjelaskan tiga calon dikenal pasti setakat ini dan dijangka memulakan tugas selepas berakhir Sukan Malaysia 2026, Ogos depan.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan yakin skuad wanita mampu sumbang pingat di Sukan SEA 2027.
Sementara itu, seramai 21 pemain lelaki disenaraikan dalam program podium termasuk lima muka baharu, manakala skuad wanita mengekalkan 12 pemain dengan beberapa tambahan bakat muda.
Menurutnya, semua latihan berpusat di MSN dan tumpuan terdekat kini adalah Piala Dunia Mei ini yang dianggap pentas penting menguji konsistensi prestasi pasukan negara.
Mengulas cabaran antarabangsa, beliau menegaskan peluang merebut kejuaraan lebih terbuka dalam acara quadrant selepas peningkatan dipamerkan Vietnam, Jepun, India dan Myanmar selain menjangkakan rombakan besar sehingga 50 peratus pemain Thailand, oleh Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT).
“Siapa pun yang Thailand turunkan, kita akan lawan dengan penuh semangat dan fokus utama tetap kepada pembangunan sistem permainan yang lebih mantap,” katanya.