Peluang Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan untuk melangkah ke separuh akhir Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 masih terbuka meskipun tewas 3-5 kepada Pakistan dalam aksi kedua Kumpulan B, semalam.
Keputusan itu bukan noktah kepada perjuangan Speedy Tigers, sebaliknya menjadi pencetus semangat untuk bangkit menjelang pertemuan penting menentang China pada Rabu ini yang kini dianggap sebagai aksi hidup mati.
Malaysia mempamerkan permulaan cukup meyakinkan apabila Muhajir Abdu Rauf meletakkan skuad negara di hadapan menerusi gol padang pada minit ke-12.
Dua minit kemudian, kem negara terus bersorak apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-14 untuk menggandakan kelebihan menjadi 2-0.
Pakistan bagaimanapun bangkit pantas menerusi jaringan Waheed Ashraf Rana sebelum Zikriya Hayat menyamakan kedudukan pada minit ke-16, menjadikan perlawanan kembali seimbang.
Memasuki babak kedua, Malaysia sekali lagi menunjukkan semangat juang tinggi apabila Mohd Fitri Saari tenang menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-40 untuk meletakkan negara kembali di depan 3-2.
Namun beberapa kelekaan telah membuka ruang kepada Pakistan untuk menghukum apabila Nadeem Ahmad menyamakan kedudukan pada minit ke-45 sebelum Sufyan Khan meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49.
Ammad Muhammad kemudian melengkapkan kemenangan Pakistan dengan gol kelima pada minit ke-56.
Walaupun tewas, tiga gol yang berjaya dihasilkan membuktikan jentera serangan negara berada pada landasan tepat dan mampu memberi tekanan kepada mana-mana lawan.
Kini tumpuan sepenuhnya terarah kepada pertemuan dengan China, yang akan menentukan nasib Speedy Tigers dalam saingan kumpulan.
Kemenangan ke atas China bukan sahaja penting untuk meraih tiga mata penuh, malah menjadi kunci untuk memastikan pintu separuh akhir terus terbuka.
Dengan semangat juang yang dipamerkan serta tentangan sengit ketika menentang Pakistan, skuad negara memiliki segala ramuan untuk bangkit mencipta kemenangan.
“Pemain bermain dengan baik cuma satu perkara iaitu kita tidak menfaatkan peluang yang ada untuk menjaringkan gol. Kita ada enam pukulan sudut penalti tetapi kita hanya mampu menyempurnakan satu.
“Kita ada peluang untuk menang tetapi penyudah kurang baik. Kita perlu meningkatkan segala kekurangan dalam perlawanan ini menjelang aksi berdepan China.
“Kita perlu menang ke atas China kerana tiada cara lain untuk mara ke separuh akhir,” kata Sarjit selepas perlawanan.