Musim ke-12 Sepak Takraw League (STL) membuka tirai dengan aksi Perlawanan Sumbangsih sebentar tadi dengan menemukan juara STL Premier musim lalu, Perak Bison, dengan juara Champions Cup, Negeri Sembilan Antlers yang kemudian dinobatkan sebagai juara Piala Sumbangsih.

Lebih menarik, ShekhinahPR turut tampil sebagai Rakan Media Digital Rasmi STL 2026, sekali gus memperkukuh peranan agensi berkenaan dalam memperkasakan kandungan serta liputan digital sukan sepak takraw negara.

“Sepak takraw merupakan antara sukan yang mempunyai identiti kuat dalam landskap sukan Malaysia.”

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen ShekhinahPR untuk terus menyokong perkembangan sukan sepak takraw melalui pendekatan komunikasi dan kandungan digital yang lebih dekat dengan peminat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj.

Sementara itu, saingan STL Division 1 akan membuka tirai pada 7 Oktober 2026 di Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Sebanyak 12 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan untuk bersaing mendapatkan dua kedudukan terbaik bagi melangkah ke pentas STL Premier. Hanya dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.

Bagi STL Premier, saingan akan berlangsung dari 21 Oktober 2026 hingga 10 Januari 2027 di beberapa lokasi termasuk Perak, Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Sebanyak 12 pasukan bakal bersaing dalam format yang menyaksikan mereka dibahagikan kepada empat kumpulan, masing-masing terdiri daripada tiga pasukan pada setiap minggu pertandingan.

Setiap pasukan akan beraksi dalam dua perlawanan di peringkat kumpulan sebelum pasukan yang menduduki tangga teratas bergerak ke kelompok klasifikasi 1 hingga 4, manakala pasukan di tempat kedua akan bersaing dalam klasifikasi 5 hingga 8.

Sebanyak 140 perlawanan dijadualkan berlangsung sepanjang 10 minggu saingan STL Premier, dengan tujuh pusingan Grand Prix (GP) ditawarkan di beberapa lokasi. Mata GP akan diberikan berdasarkan kedudukan akhir setiap pasukan dan menyumbang kepada kedudukan keseluruhan STL 2026.