SEBANYAK 27 pemain telah disenaraikan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Johor Bahru bemula 18 Mac sebagai persiapan menjelang dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Apa yang menarik perhatian adalah hanya sembilan pemain dari skuad Piala AFF Disember lalu dikekalkan manakala lapan muka baharu dipanggil sambil pemain-pemain dari Johor Darul Ta’zim kembali menyertai skuad kebangsaan.
Damien Lim, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fayadh Zulkifli, Daniel Ting, Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Feroz Baharudin dan Nooa Laine adalah antara lapan pemain baharu yang disenaraikan oleh KPG yang dilihat dipilih berdasarkan prestasi semasa mereka dalam liga.
Senarai 27 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Harimau Malaya Bermula 18 Mac 2023
Ia bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, 23 dan 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
▶️ Baca penuh di https://t.co/hp7o1IBJwn#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/wDS0Thgz6Y
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 14, 2023
Selamat untuk diperkatakan bahawa lapan daripada pemain baharu ini sudah dapat dinilai prestasi mereka selepas empat perlawanan Liga Super berlangsung manakala Nooa Laine pula bakal membawa pengalamannya di Eropah kepada pasukan.
Dua penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan sememangnya menunjukkan aksi yang mantap dalam liga dengan Damien dapat mengenepikan penjaga gol senior Khairul Fahmi Che Mat di gawang Sabah manakala aksi heroik Sikh Izhan ketika bertemu JDT meskipun tewas tujuh kali layak diberikan pujian dan akhirnya dipanggil KPG menyertai skuad kebangsaan.
Daniel Ting dan Feroz Baharudin juga layak dipanggil kerana beraksi dengan baik dan membentuk gandingan mantap bersama pemain lain di pertahanan Sabah dan JDT yang dilihat KPG mampu memberikan persaingan buat pemain pertahanan lain.

Daniel Ting
Dua pemain yang baharu dinaturalisasikan, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos bakal menawarkan pilihan buat barisan tengah Harimau Malaya dengan kedua-dua mereka beraksi cemerlang di kelab masing-masing dan berjaya menjaringkan lima gol antara mereka.
Setelah sekian lama menjadi nadi kepantasan pasukan Kedah Darul Aman FC, Fayadh Zulkifli akhirnya diberikan peluang menyarung jersi pasukan kebangsaan dengan barisan kejurulatihan sudah pasti mempunyai perancangan buat pemain bertubuh kecil ini.
Terpilihnya lapan pemain ini membuktikan KPG berani mengambil risiko dengan mencuba muka-muka baharu yang bukan sahaja akan memberikan nilai tambahan buat Harimau Malaya tetapi juga menambahkan lagi ‘pool players‘ yang bakal dipilih untuk mewakili negara ke Piala Asia.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan pada 23 Mac 2023 di sebelum menentang Hong Kong bagi aksi persahabatan kedua pada 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.