UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) mencipta kejutan besar apabila menyapu bersih kesemua lapan pingat emas dalam acara golf di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024.

Pertandingan yang berlangsung di Kelab Golf Sultan Sallehuddin UUM menyaksikan UUM menguasai kesemua kategori yang dipertandingkan termasuk individu gross lelaki, individu nett wanita dan berpasukan.

Kesemua pemain golf UUM yang terdiri daripada pelajar Akademi Golf Nasional (AGN) UUM yang telah dianugerahkan pusat kecemerlangan sukan dalam golf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Seorang pelajar AGN, Sharif Aimanuddin Sharif Zainal Abidin mengumpul 208 mata dengan bermain ketiga-tiga hari perlawanan meletakkan beliau sebagai pemenang pingat emas bagi kategori individu net lelaki.

Bagi kategori individu nett wanita pula, Nurul Ameera Najwa Zainuddin telah memenangi pingat emas dengan bermain 205 pukulan untuk ketiga-tiga hari perlawanan.

Dalam kategori individu gross lelaki dan individu gross wanita, UUM memperoleh semua pingat daripada gangsa, perak dan emas.

Pemain individu gross lelaki diwakili Muhammad Farez Azihan memenangi emas, manakala Mohd Kall Danish memperoleh perak dan Hariz Hezri mendapat gangsa.

Pemain gross wanita pula diwakili Charlayne Chong Shin Ling memangi emas, manakala Valerie Vanessa Langkap pula pingat perak dan Nur Maisara Saad pingat gangsa.

Bagi kategori kumpulan nett lelaki, pelajar UUM yang menyumbang emas diwakili Sharif Aimanuddin Sharif Zainal Abidin, Nathaniel Cheang Chun Ther, Muhammad Azahari Amir dan Wan Amirul Afiq Wan Rosni.

Manakala,kategori nett wanita pula emas disumbangkan oleh Nurul Ameera Najwa Zainuddin, Nurul Adawiyah Abdul Jalil, Nur Aqeelah Najihah dan Nurul Fazlyana Mohd Azihan.

UUM turut mendapat emas bagi kategori gross lelaki yang diwakili Muhammad Farez Azihan, Mohd Kall Danish, Hariz Hezri dan Muhammad Muadz Mohd Nadzir.

Emas juga diperolehi UUM untuk kategori gross wanita yang diwakili Charlayne Chong Shin Ling, Valerie Vanessa Langkap, Zaty Umairah Abdul Halim dan Nur Maisara Saad.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Penolong Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Tony Azman.

Pengarah AGN UUM, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman, menyifatkan kejayaan ini sebagai dorongan besar untuk kontinjen UUM dalam SUKIPT tahun ini.

“Kemenangan ini sangat manis kerana UUM menyambut ulang tahun ke-40 tahun dan membuktikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi betapa pemilihan UUM sebagai pusat kecemerlangan sukan golf sangat bertepatan,

“Saya sendiri tidak menyangka UUM boleh memenangi semua emas dalam acara golf kerana pesaing daripada institusi pendidikan tinggi lain tidak kurang hebatnya,” katanya yang dipetik daripada Facebook Universiti Utara Malaysia.

Kemenangan ini meletakkan UUM antara senarai lima terbaik kutipan pingat emas selepas empat hari pertandingan dimulakan.

 

FOTO : Universiti Utara Malaysia (Official FB)