SKUAD Pahang melakar kejutan terbesar dalam acara bola jaring Sukma 2022 apabila menewaskan pasukan pilihan, Johor 54-42 pada aksi separuh akhir di Stadium Juara Bukit Kiara.

Pahang berjaya mengambil kesempatan ke atas kesilapan yang dilakukan skuad Johor dengan Maisarah Afandi tenang menyempurnakan mata demi mata untuk layak ke final.

Kekalahan ini jelas satu tamparan buat Johor apabila gagal ke final ketika dilihat tidak berdepan masalah dalam peringkat kumpulan dan juga suku akhir sebelum ini.

 

Jurulatih Pahang, Hapizah Jaafar gembira dengan kejayaan ini kerana dia sememangnya menggunakan kejohanan Netball Super League (NSL), sebagai persiapan buat pasukannya beraksi di Sukma dan ianya membuahkan hasil.

“Alhamdulillah atas usaha dan penantian selama empat tahun berjaya membuahkan hasil. Saya sangat berpuashati dengan semangat dan kerja berpasukan yang ditampilkan pemain-pemain Pahang.

“Kami menggunakan kejohanan Netball Super League (NSL) sebagai platform utama buat pasukan Pahang untuk membentuk keserasian bagi menghadapi Temasya Sukma 2022 ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Menanti Pahang di final pada Sabtu adalah juara bertahan, Wilayah Persekutuan yang berjaya mara ke final selepas dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Selangor 63-51.

Meskipun Wilayah Persekutuan dilihat selesa dihadapan babak pertama, Selangor kembali merapatkan kedudukan pada suku ketiga yang memaksa juara bertahan itu melakukan pertukaran taktikal sebelum berjaya muncul sebagai pemenang.

Ketua pasukan Wilayah Persekutuan, J.Leisharaani gembira kerana dapat layak ke final dan mahu semua rakan sepasukan untuk memberikan yang terbaik dan mahu menang sebagai satu pasukan.

“Kami gembira layak ke final meskipun sedikit tertekan terutama pada suku ketiga namun semangat sepasukan yang kuat membuatkan kami kembali fokus dan akhirnya berjaya menang dan layak ke final.

“Untuk final nanti, kami akan berjuang sehingga wisel terakhir dan akan bagi yang terbaik. Apa yang penting kami perlu mengekalkan semangat berpasukan bagi memastikan kemenangan dan mempertahankan emas buat Wilayah Persekutuan,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Wilayah Persekutuan akan bertemu Pahang dalam perlawanan penentuan emas manakala Johor terpaksa akur untuk beraksi dalam pertemuan pingat gangsa bertemu Selangor dalam aksi yang dijadualkan pada Sabtu di Stadium Juara Bukit Kiara.