PASUKAN Selangor memastikan slot ke suku akhir setelah membenam Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi kedua saingan Bola Sepak Sukma Kumpulan A di UM Arena petang Rabu.
Aksi separuh masa pertama jelas dikemudi barisan pemain Selangor dengan arkitek tengah jelas memainkan peranan dalam menyusun serangan terhadap pasukan lawan.
Berbekalkan kejutan di perlawanan pertama setelah menewaskan juara bertahan, Perak, Gergasi Merah nyata sukar digugat apabila melakukan serangan bertali arus sebaik perlawanan dimulakan namun masih buntu mencari gol pembukaan.
Negeri Sembilan turut memiliki beberapa peluang namun sering digagalkan pertahanan Selangor pada babak pertama.
Sebaik babak kedua bermula, Muhammad Khairi Sufian Khaineyusri meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-50 dengan sepakan leret menewaskan penjaga gol skuad Jang, Muhammad Firdaus Mohd Kamal.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor mengungguli Kumpulan A dengan enam mata sekaligus memastikan slot ke suku akhir acara Bola Sepak Sukma 2022.