SKUAD bola sepak Wilayah Persekutuan berjaya mencatat kemenangan sulung dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A acara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 2022.
Pasukan bimbingan Zolkipli Samion itu berjaya membenam cabaran hebat Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kedua-dua pasukan beraksi walaupun cuaca panas sedikit menggangu rentak permainan terutama pada babak pertama dengan beberapa pemain mengalami kekejangan otot.

Suhaimi Abu meraikan jaringan kemenangan
Suhaimi Abu muncul wira skuad Wilayah Persekutuan menerusi jaringan pada awal babak kedua sekaligus mengutip tiga mata berharga dalam kumpulan yang diisi empat pasukan.
Negeri Sembilan dibawah kendalian Azzmi Ab Aziz turut mencipta beberapa peluang berbahaya tetapi dinafikan kecemerlangan penjaga gol simpanan Kuala Lumpur City FC, Azim Al Amin Kamaruddin.
Zolkipli nyata berpuas hati dengan kemenangan ini dan gembira dengan keputusan ini kerana berjaya mendapat tiga mata untuk memudahkan laluan ke suku akhir.

Zolkipli Samion
Wilayah Persekutuan akan turun bertemu juara bertahan, Perak pada Rabu untuk aksi kedua kumpulan dengan kemenangan bakal menjamin tempat ke peringkat suku akhir manakala Negeri Sembilan akan membuat perhitungan dengan Selangor.