EMPAT pasukan pilihan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pahang berjaya menepati ramalan awal apabila layak ke peringkat separuh akhir acara bola jaring Sukma 2022.

Juara bertahan, Wilayah Persekutuan berjaya ke separuh akhir meskipun ditekan hebat oleh Perak sebelum menang 66-42 dalam perlawanan suku akhir di Stadium Juara Bukit Kiara.

Gandingan Putri Intan Balqis dan Nordiyanah Sabadinee sekali lagi cemerlang memastikan kemenangan milik Wilayah Persekutuan walaupun Khairunnisa Nazri membuktikan dirinya sebagai salah seorang ‘Goal Shooter’ terbaik apabila menjaringkan 35 dari 42 mata buat Perak.

 

Ketua Jurulatih Wilayah Persekutuan, Norizan Rajab gembira dengan kejayaan ini dan teruja untuk bertemu Selangor pada separuh akhir yang dijadualkan pada Jumaat dan berharap pasukannya dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2018.

“Saya yakin perlawanan menentang Selangor akan menjadi satu aksi yang menarik kerana seperti kami, Selangor juga mempunyai pemain kebangsaan dan kami menantikan perlawanan ini.

“Saya berpuas hati dengan komitmen dan persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain meskipun ramai yang mengalami kecederaan terutama pemain yang pulang dari tugasan negara. Terima kasih kepada fisio pasukan yang banyak membantu proses pemulihan para pemain.

Norizan Rajab

“Untuk separuh akhir nanti kami akan menampilkan taktikal dan barisan pemain yang berbeza dan bergantung pada pemain pasukan lawan yang diturunkan tetapi berharap Wilayah Persekutuan dapat kekalkan kejuaraan,” kata Norizan.

Dalam tiga lagi perlawanan suku akhir, Selangor berjaya mengatasi Negeri Sembilan 50-24 manakala Johor juga ke separuh akhir selepas menewaskan Terengganu 52-35 sebelum Pahang melengkapkan slot dengan kemenangan 55-47 ke atas Kedah.

Dalam aksi separuh akhir pada Jumaat, Wilayah Persekutuan bertemu Selangor manakala Johor bertemu Pahang di Stadium Juara Bukit Kiara bagi menentukan siapa layak ke final acara bola jaring Sukma 2022.