DUA gimnas kebangsaan, Ng Chun Chen dari Pulau Pinang dan Muhammad Shahrul Aimy Mohd Kamarul Hisam, dari Terengganu cetus sensasi di Gimnasium 3, MSN, apabila bergilir-gilir merebut enam pingat amas dalam kategori lelaki gimnastik artistik hari ini.

Saingan bermula dengan senaman lantai, menyaksikan dua atlet terbabit menggamatkan Gimnasium 3 apabila diumum pemenang pingat emas bersama, apabila kedua-duanya meraih 13.233 mata.

Justeru, tiada pemenang pingat perak menyaksikan seorang lagi atlet kebangsaan, Luqman Hafiz Zulfa meraih gangsa selepas mengumpul 13.100 mata.

Chun Chen menambah pingat emas buat Pulau Pinang menerusi dua lagi acara, menerusi gelang roman dan palang sejajar.

Sementara Shahrul menambah koleksi emas Terengganu selepas mengungguli acara kekuda berpelana dan melombol.

Ng Chun Chen

Manakala satu lagi pingat emas dimenangi Luqman dalam acara palang tunggal.

“Ini adalah pencapaian terbaik saya menang tiga pingat emas, puas hati walaupun acara peribadi saya sasarkan empat.

“Lagipun sudah empat tahun saya tak bermain dalam enam acara. Saya agak gelabah apabila bermain enam acara,” kata Shahrul, gembira dengan pencapaiannya kali ini.

Sementara itu, Chun Chen pula menganggap pingat emas dalam acara senaman lantai satu bonus buatnya.

“Bonus untuk saya dalam senaman lantai, apabila berkongsi emas. Secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana kaki saya sakit. Semalam bermain dalam enam acara, hari ini juga enam acara,” kata Chun Chen.

Sementara itu, Zarith Imaan Khalid memonopoli acara wanita yang menawarkan empat emas hari ini.

Zarith, 19, menang tiga emas buat Pulau Pinang menerusi acara senaman lantai, palang bertingkat dan batang titian.

Sementara emas dalam acara melombol dimenangi atlet perak, Yeap Kang Xian.