TERENGGANU kembali ke landasan kemenangan selepas tewas pada aksi pembukaan apabila berjaya mengejutkan juara bertahan, Sabah dalam aksi Kumpulan A acara Hoki Sukma 2022.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, skuad bimbingan Faizal Ismail itu berjaya menyempurnakan dua pukulan sudut penalti menerusi pemain bintang Akhimullah Anuar untuk bangkit bergaya sebelum menang 2-1.

Ketinggalan pada suku kedua, Terengganu menggandakan asakan dan akhirnya berjaya mendapatkan dua gol pada suku ketiga dan keempat sekaligus memberikan kelegaan kepada skuad Pantai Timur itu.

 

 

Faizal ternyata lega dan memuji barisan pemainnya yang berjaya mengatasi kesilapan yang dilakukan pada aksi pembukaan untuk mengutip tiga mata sekaligus mencerahkan laluan ke separuh akhir.

“Para pemain berjaya mengatasi kesilapan yang dilakukan dan kami juga berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk tiga mata berharga dan membuka kembali peluang kami ke separuh akhir,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu di padang bersebelahan, Pahang tidak mempunyai masalah membenam Negeri Sembilan 6-0 untuk terus menguasai tangga teratas Kumpulan B selepas dua perlawanan.

Pahang kelihatan bergelut pada babak pertama apabila hanya mampu menjaringkan satu gol pada suku pertama tetapi segalanya berubah pada suku keempat apabila Pahang meledak lima gol dalam masa 12 minit dengan tiga gol dalam tempoh tiga minit.

Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini menjaringkan hatrik dengan tiga lagi gol disumbangkan oleh Syamil Azim, Wan Muhammad Najmie dan Shamir Rizmi Shamsul untuk melengkapkan malam gemilang Pahang.

Dalam perlawanan lain Kumpulan A, Kedah dan Melaka berkongsi mata selepas terikat 2-2 dan Perak pula berjaya memperolehi kemenangan kedua selepas mengenepikan Wilayah Persekutuan 4-3 manakala dalam Kumpulan B pula menyaksikan Johor diikat Selangor 2-2 dan Pulau Pinang mengamuk membelasah Sarawak 12 gol tanpa balas.