PEREBUTAN pingat emas dalam acara Taijiquan, berlangsung sengit di Gimnasium 2 MSN, apabila senarai pendahulu bersilih ganti.

Mandy Cebelle, atlet terakhir turun beraksi akhirnya merampas senarai pendahulu dengan perolehan mata 9.600.

Aksi kemas atlet wushu kebangsaan itu, ditunjukkan menerusi kepantasan, pendaratan dan keseimbangan yang baik, sekali gus membolehkannya meraih emas pertamanya di temasya SUKMA XX.

Menurut Mandy, 19, kemenangan itu sangat mengujakan selepas dia gagal beraksi dengan baik di Sukan SEA Hanoi, akibat dibelenggu kecederaan.

“Saya betul-betul bangga kerana banyak halangan saya hadapi sebelum ke sini, sekarang saya berjaya atasinya. Saya anggap sudah berjaya sempurnakan Hasrat kerana saya nak push diri lebih lagi.

“Sebelum ni saya alami kecederaan buku lali hingga tak dapat beraksi baik di Sukan SEA. Kecederaan saya adalah pada kaki ang digunakan untuk pendaratan dan keseimbangan,” kata Mandy sebak, tidak henti menitiskan air mata.

Katanya, sejak mula berkecimpung dalam sukan wushu sejak 2015 dan mula beraksi di SUKMA 2016.

Katanya, sejak itu dia menetapkan sasaran memenangi pingat emas di pentas tertinggi sukan dalam negara.

Memenangi pingat perak, atlet Wilayah Persekutuan Kwan Yong Xin (9.556) manakala gangsa milik atlet Sarawak Yong Arifah Khairil Kok (9.530).

Kemenangan mereka sekali gus menyaksikan pemenang pingat emas acara Taijijian semalam, Sydney Chin dari Melaka tercicir dari menaiki podium, biarpun pada awalnya berada di kedudukan teratas senarai pendahulu.

Sydney sekadar di kedudukan keempat dengan mata 9.526.

Dalam acara Taijijian semalam, Sydney merangkul emas, Mandy perak dan Yong Arifah gangsa.