MULA memegang status orang kurang upaya (OKU) pada 2012, Firdaus Fariduddin Noordin bangkit dengan semangat lebih kuat, dan kini dia mula mengecapi kejayaan.

Pada aksi final 400 meter (m) gaya bebas lelaki kelas S8-S9 Para Sukma 2022 pagi tadi, Firdaus muncul pemenang pingat emas dengan memecah rekod kebangsaan milik atlet Sarawak Dato Anak Lakok yang dibuat pada Para Sukma 2018 di Perak.

Firdaus, 23, berasal dari Batu Maung, Pulau Pinang, berkata, bermacam-macam dugaan dilaluinya dalam kehidupan ini.

Firdaus mencatat masa 6 minit 05.70 saat mengatasi catatan lama 6 minit 17.66 saat milik Dato Anak Lakok.

Dilahirkan sempurna, dia tidak pernah menjangka akan melalui kehidupan sebegini, namun tetap bersyukur kerana dikurniakan kekuatan.

Menurutnya, dia antara mangsa kemalangan bas ekspress, dengan sebuah lori pasir serta lori muatan kontena di Kilometer (KM) 341.9 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bidor (Perak) Mac 2011.

Firdaus Noordin, mangsa kemalangan maut melibatkan sebuah bas ekspres, lori pasir dan lori kontena 2011, kini menjadi atlet cemerlang Para Sukma dengan memecah rekod kebangsaan 400 meter S8-S9 lelaki.

“Saya mula kehilangan kaki apabila terlibat kemalangan ngeri, apabila bas ekspres saya bersama ibu Jumabee Latiff dan kakak Nur Fatin Dalilah Noordin dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Nilai, Negeri Sembilan, ketika saya berusia 12 tahun.

“Apa yang saya tahu, pemandu bas tertidur lalu melanggar belakang sebuah lori pasir yang diparkir di bahu lebuhraya menyebabkan sebahagian bas hancur. Waktu itu saya masih tidak mengalami kecederaan dan kami turun dari bas dan duduk tidak jauh dari Kawasan itu.

“Gara-gara bahagian belakang bas masih berada di atas lebuhraya, sebuah lori membawa kontena merempuh bas menyebabkan badan bas terpelanting ke arah kami bertiga. Saya hanya sempat menolak ibu dan kakak manakala kaki kanan saya tersepit dan penyek,” kata Firdaus mengimbas kembali kejadian kira-kira 11 tahun lalu itu.

Menurutnya, dia tidak menangis mungkin kerana tidak berasa sakit kesan dari pendarahan teruk.

Bermula dari situ juga di mula enggan bersekolah kerana sering diejek rakan sekolah menengah yang sering memalukannya di khalayak ramai, dengan bertanya di mana kakinya.

“Ibu saya bersetuju namun dia juga ada bertanya pada rakannya apa yang boleh saya lakukan jika tidak bersekolah. Rakan ibu menyarankan saya bermain sukan seperti sunnah nabi, berenang, berkuda atau memanah.

“Tiba-tiba saya berminat untuk berenang biarpun tidak pernah ada pengalaman berenang,” katanya.