JURULATIH Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang, Mohamad Fazil Mohd Asri berkata antara kunci kemenangannya dengan mudah mengatasi Perlis adalah disebabkan semangat berpasukan yang tinggi  ditunjukkan anak buahnya.

Jelasnya, atlet telah menunjukkan peningkatan dalam perlawanan ini dan menyifatkan aksi separuh akhir bertemu Terengganu adalah sebagai misi membalas dendam ekoran kekalahan final lalu di tangan lawan yang sama, Terengganu.

“Semangat berpasukan kerana permainan kita perlukan sahabat, ia bukan individu. Dengan izin-Nya, kita mencapai kemenangan ini.

“Prestasi semakin baik ditunjukkan atlet, dari segi permainan kelmarin ada peningkatan, lawan pun tidak kurang hebatnya.

“Kita akan bertemu Terengganu. Mereka antara pasukan yang juara untuk SUKMA lepas di Perak dan kita tewas pada perlawanan perlawanan akhir bertenu Terengganu,”  katanya ketika ditemubual wartawan FLASH SUKAN.

Jurulatih Sepak Takraw SUKMA Terengganu, Mohd Yussof Chik.

Sementara itu, Jurulatih Terengganu, Mohd Yussof Chik mengakui latihan selama sebulan di Bangkok merupakan elemen utama kejayaan pasukan dari timur tanah air itu membenam cabaran lawan.

Antara pemain yang menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan adalah pemain tekong Muhammad Aidil Haikal Ghani, feeder Muhammad Hasmadi Wahab dan Alif Mursyid Rusli.

“Saya bersyukur dapat mencipta kemenangan. Sarawak juga mempunyai regu yang baik tetapi latihan yang telah dibuat oleh pasukan Terengganu sebelum ini di Bangkok selama sebulan dan kombinasi pemain semasa latihan membuat Terengganu lebih mantap lagi.

“Untuk mencipta sesuatu kejayaan, kita mesti menjalani latihan yang teratur dan tersusun untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

“Sebilangan pemain kita adalah pemain SUKMA 2018 lebih kurang enam orang, dan disertai pemain baru mampu mencipta gandingan yang baik.

“Mereka selalu bermain untuk Sepak Takraw League (STL) sebelum ini iaitu Haiqal tekong, Hasmadi feeder dan Alif Mursyid regu kedua tadi adalah key player untuk Terengganu,” ujarnya.