HAMPIR tercicir emas, namun gandingan Wilayah Persekutuan (WiPers) melakukan kebangkitan bergaya di Sunway Megalane.

Dalam aksi Double Lelaki, gandingan WiPers, Haikal Hazlan dan Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh, berperang dengan mentaliti sendiri sebelum melakukan kebangkitan pada tiga permainan terakhir.

Membuka permainan dengan masing-masing melakukan 257, 226 jatuhan pin, prestasi gandingan itu mula menurun apabila Haikal melakukan jatuhan 220 dan 170, manakala Shaqeem pula 166 dan 195, pada permainan kedua dan ketiga, untuk mengumpul 1,234 jatuhan pin.

Kemerosotan mereka membolehkan Pahang yang diwakili Danial Haiqal Izwan Suhardi-Muhammad Danial Abu Samah, naik sebagai pendahulu selepas tiga permaian dengan 1,288 jatuhan pin, manakala gandingan Negeri Sembilan, Muhammad Aimeer Shah Mohd Azmi-Muhammad Azri Azni, naik ke kedudukan kedua dengan 1,267 jatuhan pin.

“Susah nak sesuaikan diri dengan ‘lane transition’, begitu juga mental kami kerana kami selalu kalah dari segi mental dan mudah hilang fokus.

“Selepas game ketiga, saya (Haikal) dan Shaqeem bersahaja dan bersembang sambil menamatkan permainan,” kata Haikal.

Wilayah Persekutuan meraih pingat emas selepas menamatkan enam permainan dengan 2,558 jatuhan pin.

Pingat perak milik pasangan Pahang (2,478) dan gangsa milik Negeri Sembilan (2,475).

Shaqeem juga pemain remaja kebangsaan, masih segar dengan kemenangan di Kejohanan Remaja Asia, di Bangkok Ogos lalu berkata, dia meletakkan sasaran emas pada acara berpasukan (5 sepasukan) dan kemenangan acara Double Lelaki menjadi bonus buatnya.

“Bagi saya, pingat emas hari ini sama penting dan bermakna serti di Kejohanan Remaja Asia, apa lagi ini adalah emas pertama saya di SUKMA,” kata Shaqeem.

Sementara itu, atlet Negeri Sembilan Muhammad Azri menjadi perhatian selepas menitiskan air mata selepas tamat permainan.

“Saya menangis kerana terlalu gembira memperoleh pingat gangsa. Ini adalah penyertaan pertama saya di SUKMA dan ini juga yang terakhir kerana saya sudah berusia 23 tahun,” katanya.