KONTINJEN Johor tampil dengan pencapaian luar biasa pada temasya Sukma 2022 ini apabila berjaya meraih 77 pingat emas sekaligu bergelar juara keseluruhan temasya dwitahunan itu.
Selepas tidak dapat menjadi tuan rumah pada tahun 2020 ekoran penularan pandemik Covid-19 sehingga Sukma 2020 terpaksa dibatalkan, atlet-atlet Johor seakan-akan melepaskan geram dan menguasai hampir kebanyakan acara yang dipertandingkan.
Paling mencuri tumpuan adalah menerusi acara berbasikal trek yang berjaya memecah dominasi Terengganu selain sukan Kanu dan renang yang menyaksikan penguasaan penuh kontinjen Johor.
Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Kontinjen Johor yang memenangi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang menutup tirainya hari ini.https://t.co/t3uGVOB35h pic.twitter.com/ItAPudlUoi
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) September 24, 2022
Turut berkongsi kegembiraan dengan kejayaan ini adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang terlibat dalam Sukma ini.
Menerusi hantaran di laman sosial rasmi beliau, TMJ nyata gembira dengan pencapaian ini dan ianya juga kelihatan selari dengan kejayaan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi ikon kejayaan negeri Johor.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Kontinjen Johor yang memenangi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang menutup tirainya hari ini.
“Saya merasa bangga melihat Kontinjen Johor dapat meraih 77 emas dalam kejohanan kali ini, sekaligus berjaya melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu 40 emas.
“Tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada Kontijen Johor,” tulisnya dalam hantaran di laman sosial rasminya.
Sukan di negeri Johor melalui perubahan yang drastik selepas JDT berjaya mengubah lanskap bola sepak bukan sahaja di Johor malah di seluruh negara dan juga di Asia. Semangat inilah yang digunakan oleh Majlis Sukan Negeri untuk memajukan sukan-sukan lain dan kesannya kini mula kelihatan dan Johor berjaya mendominasi Sukma 2022.