SUSULAN prestasi hambar dipamerkan Mohamadou Sumareh dalam skuad senior kebangsaan, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tampil memberikan pandangan terhadap pemain naturalisasi itu.

Jelasnya, sebagai pemain profesional, Sumareh seharusnya bijak mengawal emosi dan tidak terikut-ikut dengan dorongan perasaan sehingga melakukan terjahan keras terhadap pemain Tajikistan.

Selain itu, jurulatih berusia 54 tahun itu memberi gambaran bahawa pemain naturalisasi perlu membuktikan bahawa mereka mampu mengawal emosi sebelum menyarung jersi mana-mana pasukan.

“Saya rasa sumbangan Sumareh boleh membantu pasukan tetapi terpulang pada dia bagaimana hendak berdepan tekanan dari luar atau daripada pasukan.

“Sudah tentu saya harap dia bersedia apapun situasinya selepas ini. Mungkin tak sesuai dengan corak permainan jurulatih tersebut atau prestasinya kurang keyakinan.

“Saya harap pada masa akan datang, mereka boleh buktikan mereka betul-betul layak bersama pasukan,” katanya ketika ditemui media semasa sesi latihan Selangor FC di Padang SUK, Shah Alam.