JURULATIH Bahrain, Helio Sousa mendedahkan dia mempunyai seorang penolong jurulatih yang akan mengkaji kekuatan pasukan senior kebangsaan.

Bagaimanapun, Sousa akan fokuskan pertembungan menentang skuad Bangladesh terlebih dahulu untuk memastikan berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut.

“Kita mempunyai seorang penolong jurulatih, akan meneliti pasukan lawan (Malaysia),” kongsinya pada sidang media pra perlawanan, Selasa.

Tambah Sousa, semua pemainnya telah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi lawan yang disifatkan memiliki kekuatan yang seimbang untuk layak ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, pemain Bahrain, Sayed Mohamed Jaafar pula menyifatkan kemenangan adalah sangat penting dalam perlawanan pertama.

Ditanya tentang perlawanan menentang skuad negara, dia turut senada dengan jurulatih pasukan untuk fokus pada satu satu perlawanan terlebih dahulu.

“Kita akan berusaha sebaik mungkin dan kemenangan adalah langkah awal bagi ke pusingan seterusnya.

“Fokus pada perlawanan pertama, kita tidak akan mengulas tentang itu dahulu,” katanya.

Pasukan Bahrain dijadualkan menentang Bangladesh pada Rabu petang sebelum pasukan negara akan turun bertemu Turkmenistan pada jam 9 malam.