SKUAD futsal Malaysia menerima tamparan besar menjelang Piala Asia Futsal 2026 apabila tonggak muda, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan, disahkan terlepas kejohanan itu akibat kecederaan ligamen lutut (ACL).

Jurulatih skuad negara, Addie Azwan Zainal, mengesahkan pemain Selangor FC berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan ACL gred satu yang memerlukan tempoh pemulihan dan tidak sempat pulih untuk saingan Asia.

“Syahir mengalami kecederaan ACL gred satu dan kecederaan itu akan mengambil sedikit masa untuk pemulihan,” katanya.

Addie mengakui ketiadaan Syahir memberi impak besar terhadap perancangan pasukan memandangkan peranan penting pemain itu dalam sistem permainan negara.

“Impak ketiadaan dia memang besar kepada pasukan dan kehilangan Syahir untuk Piala Asia Futsal sedikit sebanyak mengganggu perjalanan pasukan,” katanya.

Menurut Addie, barisan kejurulatihan kini menilai sama ada memanggil pemain baharu atau memanfaatkan sepenuhnya pemain sedia ada bagi menampung kekosongan tersebut.

Seramai 19 pemain negara kini mengikuti kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Piala Asia Futsal 2026, termasuk dua pemain Malaysia B-19, Aidil Zakwan Zaidi dan Faaris Amsyar Marhaidi, yang diberi peluang membuktikan kemampuan di peringkat senior.

Sejak dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 2023, Syahir Iqbal muncul sebagai antara tonggak utama futsal negara, termasuk membantu Malaysia meraih pingat gangsa Sukan SEA 2025 dan layak secara merit ke Piala Asia Futsal 2026, menjadikan kecederaannya satu kehilangan besar buat Harimau Malaya Futsal.

Pasukan negara diundi dalam Kumpulan D bersama Iran, Afghanistan dan Arab Saudi, dan bakal membuka kempen Piala Asia Futsal pada 28 Januari ini di Jakarta.