SEKOLAH Sukan Malaysia Pahang (SSM Pahang) mencipta sensasi apabila muncul juara kategori lelaki pada Kejohanan Asia School Rugby 7s (U19) 2026 di Bangkok, manakala Bunga Raya Girl meraih tempat ketiga kategori wanita.

Aksi berlangsung di Stadium Royal Thai Air Force, Thailand pada Sabtu dan Ahad lalu (semalam) menyaksikan kontinjen negara mempamerkan dominasi meyakinkan di pentas Asia.

SSM Pahang mengesahkan gelaran juara selepas menewaskan King’s College dari Thailand 27–17 pada perlawanan akhir yang penuh intensiti.

Sebelum itu, pasukan negara mara ke final dengan kemenangan besar 37–7 ke atas Liu Hsin Senior High School dari Taiwan di separuh akhir.

Prestasi konsisten turut ditampilkan di peringkat kumpulan apabila SSM Pahang membenam Kalinga Institute of School Science 43–7, Vajiravudh College 32–10 dan Armed Forces Academies Preparatory School 41–0.

Dalam kategori wanita, pasukan Bunga Raya Girl menutup kempen dengan kedudukan ketiga keseluruhan hasil semangat juang tinggi sepanjang kejohanan.

Mereka menewaskan Triamudom Suksa Pattanakan Surattani School 15–5 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kejayaan ini diyakini menjadi suntikan moral penting kepada pembangunan ragbi sekolah negara ke arah melahirkan lebih ramai pemain berkualiti di masa depan.