INDONESIA B-19 berpeluang mara ke separuh akhir tetapi bersyarat !

Walaupun berjaya mengalahkan Myanmar B-19 pada saingan terakhir Kumpulan A, pasukan Indonesia B-19 masih belum tentu layak.

Betul, peluang tuan rumah itu masih terbuka namun skuad Garuda Muda perlu bergantung nasib dengan keputusan perlawanan Vietnam B-19 bertemu Thailand B-19.

Dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala AFF B-19, Indonesia B-19 berhadapan dengan Myanmar B-19 di Stadium Patriot Candrabhaga, hari ini.

Jika menang sekalipun ke atas Myanmar, anak didik Shin Tae-yong itu perlu menunggu keputusan Vietnam B-19 lawan Thailand B-19 di Stadium Madya.

Andai Vietnam B-19 atau Thailand B-19 yang menang, maka Indonesia B-19 mara ke separuh akhir dengan status naib juara.

Tetapi jika pertembungan itu berkesudahan seri dengan jaringan 1-1, 2-2 atau 3-3 maka Indonesia B-19 pasti tersingkir.

Situasi ini bukan berdasarkan perbezaan gol tetapi mengikut head to head.

Ketika ini Indonesia B-19, berada di tangga ketiga dengan mengutip lapan mata manakala Vietnam B-19 di kedudukan pertama berkelebihan jaringan gol mengatasi Thailand B-19 masing-masing memperoleh 10 mata.