PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) merangkap Pengerusi Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur City (KL City), Syed Yazid Syed Omar, akhirnya berjaya meleraikan perselisihan pendapat dengan ketua jurulatihpasukan itu, Risto Vidakovic. Langkah itu sekali gus mengembalikan tumpuan skuad warga kota menjelang aksi pembukaan Liga Super musim 2025/26.

Sebelum ini, Vidakovic secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap ketiadaan pusat latihan lengkap untuk KL City. Situasi itu memaksa pasukan berpindah-randah dari satu lokasi ke lokasi lain semata-mata bagi menjalani latihan, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi persediaan fizikaldan taktikal.

Kenyataan pengendali kelahiran Serbia itu yang disiarkan menerusi beberapa media arus perdana dilihat kurang disenangi Syed Yazid. Namun, usahawan berusia 47 tahun itu memilih pendekatan diplomasi demi memastikan keharmonian pasukan terjaga dan segera mengadakan pertemuan bersama Vidakovic semalam.

“Saya dan Risto (Vidakovic) berbincang dari hati ke hati untuk menyelesaikan segala masalah berbangkit. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Kami sepakat mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada persiapan pasukan menjelang sepak mula liga tidak lama lagi,” kata Syed Yazid.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling memahami. Syed Yazid menegaskan pihak pengurusan akan mengambil kira pandangan Vidakovic demi memastikan kelancaran persiapan pasukan menghadapi cabaran musim baharu.

“Kami berdua sayangkan pasukan ini. Beliau meluahkan pandangan untuk penambahbaikan dan saya pula mengambil maklum setiap perkara yang dibangkitkan. Malah, saya turut menjelaskan hala tuju, visi dan misi pasukan bagi memastikan semua pihak bergerak sehaluan,” jelas Syed Yazid.

Dengan isu berkenaan berjaya diselesaikan, tumpuan KL City kini sepenuhnya terarah kepada aksi pertama Liga Super menentang Imigresen FC di Stadium Batu Kawan. Pertemuanitu bakal menjadi medan penting untuk menguji keserasian skuad kendalian Vidakovic selepas tempoh pramusim yang padat.

Musim lalu, KL City menamatkan saingan di tangga keenam Liga Super dengan 31 mata hasil 24 perlawanan. Namun, dengan kehadiran beberapa tonggak tempatan berpengalamandan pemain import berkualiti, penyokong warga kota pastinya meletakkan harapan lebih tinggi untuk melihat pasukankesayangan mereka melakar kejayaan yang lebih gemilang.