LANGKAH pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh di Terbuka Macau 2025 berakhir dengan gelaran naib juara selepas tunduk kepada musuh tradisi sejak zaman remajanya, Alwi Farhan dari Indonesia.
Pertembungan dua seteru lama itu sekali lagi memihak kepada Alwi yang menunjukkan dominasi mutlak dengan kemenangan straight set 21-15, 21-5 dalam masa 54 minit di Taipei Arena.
Kekalahan itu menyaksikan Alwi kini mendahului rekod pertemuan mereka 4-2, sekaligus mengesahkan penguasaannya sejak remaja.
Walaupun Justin memulakan aksi dengan semangat tinggi dan memberikan saingan di set pertama, kepincangan taktikal jelas ketara apabila dihukum teruk di set kedua.
Pemain ranking ke-25 dunia, Alwi yang juga pilihan kelima kejohanan, mempamerkan ketenangan dan variasi pukulan tajam untuk mematikan langkah Justin yang gagal keluar daripada tekanan.
Meskipun sekadar muncul naib juara, pencapaian ke final tetap memberi isyarat positif buat Justin untuk terus memperbaiki diri dalam memburu gelaran Jelajah Dunia.