NAMA penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi meniti di bibir peminat bola sepak tempatan musim ini apabila mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Jang selain berjaya merampas jersi nombor satu pasukan Harimau Malaya.

Syihan, 26 yang memulakan karier bola sepak professional bersama skuad Harimau Muda C, pada 2013 semakin hari semakin matang dalam beraksi apabila diberikan peluang oleh K.Devan hingga berjaya memikat hati jurulatih Kim Pan Gon.

Anak kelahiran Kelantan itu kini mengumpul tiga kaps bersama skuad senior selepas melakukan debut apabila diturunkan sebagai penjaga gol utama ketika menentang Bangladesh pada aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jun.

Namun dalam kehebatan dia menjaga gawang, ada kisah hitam yang pernah terpalit pada dirinya apabila gagal ujian doping ketika mewakili skuad B-23 negara di China hingga digantung 20 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dia kembali dengan keazaman yang tinggi apabila membuat 22 penampilan dan bolos 26 kali yang membantu Negeri Sembilan FC menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat, hanya satu mata memisahkan mereka dengan tempat ke Piala AFC.

Menerusi pengumuman yang dibuat ini, Syihan sudah pasti bersedia untuk mengharungi babak baru dalam kariernya yang semakin berkembang dan mempunyai masa depan yang baik sebagai pemain profesional.

Penjaga gol dengan ketinggian 1.85cm itu juga kita sedang giat mempersiapkan diri dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 hujung bulan ini.