PEMAIN penyerang Zenit St Petersburg, Claudinho menggemari perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Dubai dan memuji tahap permainan serta kualiti yang ada pada beberapa pemain skuad Harimau Selatan.

Zenit, juara empat kali berturut-turut Liga Russia berjaya membenam JDT 3-0 dengan kesemua gol terhasil pada babak pertama dengan Claudinho bermain sepanjang 90 minit permainan dalam kem latihan musim sejuk mereka di Emiriah Arab Bersatu.

Dia tidak menyedari ini adalah kali pertama perlawanan melibatkan kelab Russia dan Malaysia dan baginya kemenangan ini sangat bermakna kerana ianya akan dicatatkan dalam sejarah kelab.

 

Kelab yang berpangkalan di St. Petersburg itu baru bermain perlawanan pertama di Dubai selepas melengkapkan kem latihan di Qatar di mana mereka menang dua perlawanan menentang kelab Qatar sebelum diikat FC Ural dari Russia.

“Saya tidak tahu ini adalah pertama kali untuk Zenit bertemu kelab dari Malaysia. Ini bermaksud kemenangan lebih bermakna. Mereka adalah pasukan yang bagus dan mereka sudah bersedia untuk bersaing.

“Kelab itu juga mempunyai beberapa pemain dari Brazil dan saya sempat berbual ringkas bersama mereka. Pasukan ini berada pada tahap yang sangat baik dan mempunyai beberapa pemain yang cukup berkualiti. Saya seronok dengan perlawanan itu,” katanya dalam temubual selepas perlawanan.

Maklum balas daripada pasukan lawan ini semestinya satu petanda positif buat JDT yang dalam rangka mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim Liga Malaysia yang bakal bermula kurang dari tiga minggu selain mahu terus mencipta kejutan di Liga Juara-Juara AFC.

Dalam kempen pramusim di Dubai, Harimau Selatan mencatat tiga kemenangan keatas Levski Sofia, Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow manakala tewas dua kali kepada FC Rostov dan Zenit pada hari terakhir mereka di Dubai.