KETIKA skuad Harimau Malaya meraih kemenangan ke atas Nepal, suasana gembira itu tetap menjadi keresahan peminat bola sepak negara selepas keputusan berprofil tinggi FIFA pagi semalam membuka kemungkinan Malaysia dipotong mata, sekali gus mengancam peluang layak ke Piala Asia 2027.
Dalam keadaan penuh tanda tanya itu, pemain terbaik perlawanan, Faisal Halim, tampil dengan nada jujur dan penuh emosi mengenai situasi yang melanda FAM dan kesannya kepada pasukan.
Faisal yang pernah mencipta nama di pentas Piala Asia, termasuk meledak gol menentang Korea Selatan dan menjadi antara watak penting ketika Malaysia mencipta fenomena edisi lalu, mengakui peluang untuk membuat penampilan semula di pentas tertinggi Asia mungkin terjejas. Baginya, ia satu kenyataan pahit untuk diterima, terutama ketika pasukan berada dalam momentum terbaik sepanjang kempen kelayakan.
Menurut Faisal, sebagai pemain profesional, impian beraksi di peringkat paling tinggi sentiasa menjadi keutamaan. Namun dalam masa sama, beliau menegaskan pemain hanya mampu terus berjuang tanpa mengira apa krisis atau keputusan luar padang yang berlaku. Katanya, mereka hanya mampu berdoa agar situasi ini berakhir dengan keputusan yang baik untuk negara.
“Sudah tentu sebagai pemain, kita mahu bermain di peringkat tertinggi dan apapun kesusahan yang akan datang, kita sebagai seorang pemain, kita berdoa yang terbaik supaya pasukan dapat beraksi di Asia Cup,” katanya dengan nada yang jelas menunjukkan rasa berat di dada.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia dipotong mata hingga menjejaskan kelayakan, Faisal tidak menyorokkan rasa berat di hati. Beliau mengakui ia akan menjadi satu tamparan yang sangat hebat untuk pasukan dan seluruh pemain yang telah bekerja keras mengharungi setiap perlawanan. Tambahan pula, Harimau Malaya telah memenangi semua aksi setakat ini dan hanya berbaki satu perlawanan sebelum menentukan kelayakan.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Kalau benda itu berlaku, sudah tentu kita akan kecewa dan tertekan sebab kita dah dalam momentum yang baik. Kita menang semua perlawanan,” katanya.
Walaupun jelas kecewa, Faisal tetap menunjukkan ketenangan seorang pemain matang. Beliau menegaskan pasukan perlu memberi fokus sepenuhnya kepada aksi terakhir dan memastikan segala usaha tidak terhenti walaupun berdepan kemungkinan paling buruk. Bagi Faisal, tugas pemain ialah terus memberikan yang terbaik di atas padang.
Dalam nada penuh penghargaan, Faisal turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh penyokong yang tidak pernah berpaling daripada pasukan walaupun diuji pelbagai cabaran. Baginya, sokongan rakyat Malaysia adalah nadi yang menggerakkan semangat pemain, terutama ketika melalui situasi sukar seperti kini.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia. Mereka sentiasa berada di belakang kami. Kita hargai sangat sorakan ini. Teruskan menyokong pasukan negara,” katanya.
Meskipun isu melibatkan FAM memberi kesan besar kepada imej bola sepak negara, suara Faisal pada malam itu menjadi cerminan semangat sebenar Harimau Malaya — terus melangkah, terus berjuang. Kini, seluruh tumpuan terarah kepada keputusan akhir, namun yang pasti, perjuangan skuad negara belum terhenti.