KAREKTOR berbeza ditampilkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kunjungan mereka ke Stadium Hang Jebat kali ini untuk memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Meskipun masih tidak membariskan kesebelasan utama dengan hanya bermain dengan tiga pemain import, JDT masih berjaya menguasai permainan untuk menang 2-1 ke atas Melaka United.

Setelah sekian lama tidak diturunkan dalam pasukan utama JDT, Hazwan Bakri membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dengan menanduk gol pertama seawal minit ketiga.

Jaringan tersebut adalah gol pertamanya sejak kali terakhir menjaringkan gol ketika menentang Sabah dalam pertandingan Piala Malaysia tahun lalu di Stadium Likas.

Melaka United dilihat gagal mengancam kubu JDT dengan dilihat bermain sedikit kucar-kacir sejak dari awal permainan dengan pasukan pelawat menguasai keseluruhan perlawanan.

Kehadiran semula Ifedayo dan Adriano masih gagal membantu Melaka United  yang jelas tewas dalam pertarungan dibahagian tengah namun harus berterima kasih kepada penjaga gol yang banyak menyelamatkan percubaan berbahaya dari JDT.

Namun enam minit sebelum tamat masa permainan, Melaka United dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Sony Norde sekaligus menggembirakan lebih 18,000 penyokong yang hadir.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, Harimau Selatan sekali lagi berjaya menjaringkan gol pada saat terakhir hasil jaringan ayam tambatan, Bergson Da Silva yang kembali dari kecederaan.

Dengan kemenangan ini JDT layak ke separuh akhir dan bakal bertemu Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim manakala Melaka United tersingkir sekali lagi dari pertandingan.