Setiap pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan ! Demikianlah gambaran ratu beregu campuran negara, Goh Liu Ying yang kelihatan bergenang air mata saat ditemubual media semasa Majlis Perpisahan Goh Liu Ying sebagai pemain badminton profesional kebangsaan.
“Ia saat yang sangat beremosi untuk saya. Tanpa ayah saya, saya tiada di sini. Saya ingat lagi dia ada cakap semasa dia menghantar saya main badminton, apabila dia lihat saya cedera.
“Dia ada bertanya kepada saya sama ada keputusan tersebut betul atau tidak. Sebagai bapa, saya dapat merasakan hatinya luluh,” jelas Liu Ying.
Sementara itu, bapanya, Goh Chak Wee turut mendedahkan kata-kata azimat yang sentiasa diberikan kepada anak perempuan kesayangannya sebelum turun dalam sesuatu perlawanan.

“Sebelum perlawanan, saya memang ada telefon dia. Saya selalu kata, cuba yang terbaik. Saya tidak beri apa-apa tekanan untuk menang. Kalau saya kata mesti menang, mesti menang, nanti dia akan berada dalam tekanan,” katanya.
Jelas Chak Wee lagi, sebelum diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil pada umur 11 tahun, dia merupakan seorang anak perempuan yang manja dan sering mengikutinya ke mana sahaja bapanya pergi.
“Sebelum dia masuk Sekolah Sukan Bukit Jalil, dia tidak nakal tetapi dia manja. Memang daripada kecil dia ikut saya. Emak dia sibuk dengan kerja rumah. Saya ada lebih masa dengan dia. Saya ada peluang melatih dia tetapi sampai satu tahap permainan dia lebih bagus daripada saya, terpaksa saya hantar dengan jurulatih bertaraf lebih tinggi dari saya,”ujarnya.

Momen paling bermakna buat bapanya adalah ketika dia berjaya mencipta sejarah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 sekaligus melakar sejarah beregu campuran pertama negara meraih pingat di Sukan Olimpik.
“Paling bangga semasa dia berada di atas podium Olimpik di atas podium Olimpik 2016 sampai saya tidak tahu apa hendak cakap,” kongsinya.
Sejak kecil lagi, bapanya sudah berhasrat menjadikannya seorang pemain badminton kebangsaan sebagai pengganti kepada minat bapanya yang gagal menjadi pemain badminton ekoran masalah kewangan.
“Memang dari kecil, saya memang suka main badminton tetapi masa itu keluarga memang ada masalah kewangan. Hendak beli raket pun tidak mampu. Dulu saya main badminton pun pakai raket kayu.

“Jadi bila diri sendiri tidak dapat, apabila dia mampu, saya harap dia mampu menjadi pemain kebangsaan. Sasaran saya memang untuk dia memenuhi permintaan saya untuk menjadi pemain kebangsaan,” jelas bapanya.
Sebagai seorang bapa, detik persaraan Liu Ying jelas mengusik hatinya yang mengimbau detik ketika Liu Ying dibawa ayahnya menyaksikan Sukan Olimpik seawal usia 3 tahun.
“Saya sangat sedih kerana tidak berpeluang melihat dia beraksi di gelanggang lagi. Daripada kecil memang saya bawa dia menonton televisyen, tengok siaran langsung, bawa dia pergi gelanggang.
“Umur tiga tahun saya sudah bawa dia bersama saya menonton Sukan Olimpik. Apa yang saya cakap memang dia tidak faham. Tetapi dari mula sehingga habis permainan dia berada di sebelah saya.

“Memang ada satu sasaran dari kecil sekiranya ada peluang ingin melatih sehingga menjadi pemain kebangsaan,” tambah Chak Wee.
Pemain berasal dari Melaka itu lahir pada 30 Mei 1989 dan merupakan anak kepada pasangan Goh Chak Whee dan Yong Oi Lin.
Bapanya merupakan pesara sub-kontraktor manakala ibunya pula bekerja sebagai kerani akaun.
Goh Liu Ying memiliki dua adik beradik lelaki, Goh Qi Hao dan Goh Qi Liang. Kedua-duanya memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah.

Dia memulakan latihan pada usia seawal 10 tahun dan diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil ketika berusia 13 tahun.
Liu Ying melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil di Kuala Lumpur sehingga berusia 17 tahun.
Sejak dari itu, dia mula melakar nama dengan memenangi beberapa kejohanan peringkat antarabangsa termasuk meraih emas acara berpasukan pada Kejohanan Badminton Asia, Kuala Lumpur ,2007.
Pencapaian terbaiknya adalah meraih pingat perak acara beregu campuran bersama rakannya, Chan Peng Soon dalam temasya Sukan Olimpik Rio 2016.