KEMENANGAN gelaran bertaraf Super 750 di Terbuka Perancis Ahad lalu satu penanda aras yang baik buat Pearly Tan-M Thinaah terus maju ke hadapan, namun pemain itu juga harus bijak kerana kejayaan itu boleh membuatkan mereka ‘lemas’.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, anak didiknya itu perlu mempunyai mental yang kental dan sentiasa laparkan kejuaraan sebagaimana gandingan ternama dunia, seperti gandingan China, Chen Qin Chen-Jia Ya Fan, Kim So Yeong-Kong Hee  Yong dan Lee So Hee-Shin Seung Chan (Korea Selatan), serta Nami Matsuyama-Chiharu Shida (Jepun).

“Sekarang kita harus ‘flash back’ apa yang terjadi kepada Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dulu, daripada pemain yang bagus sehingga menemui kegagalan. Di sini kita bukan mahu menceritakan kesalahan siapa tapi kita tak mahu Pearly-Thinaah dibuai pujian, ini harus kita jaga.

“Saya rasa mereka ada mental yang bagus seperti seorang juara namun perlu berhati-hati dengan pujian. Jadikan pujian sebagai motivasi untuk lebih berjaya,” kata Rexy, ketika ditemui di gelanggang Latihan, Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Selasa.

Rexy Mainaky pernah membimbing Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, enggan tragedi sama menimpa PEarly Tan-M Thinaah.

Menurutnya, selain boleh meranapkan masa depan pemain, pujian tanpa batasan juga boleh menyebabkan pemaindihimpit tekanan.

Dia memberi contoh, harapan terlalu tinggi diletakkan ke atas pemain yang merangkul kejuaraan untuk berjaya di kejohanan akan datang.

Rexy tidak menolak kemungkinan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedang mengalami tekanan itu hingga tidak mampu mempamerkan aksi di tahap sebenar.

“Saya tidak menolak Aaron-Wooi Yik menghadapi masalah tekanan ini, kerana orang ramai fikir dia juara dunia dan harus menang itu dan ini.

“Sebagai pemain, sebenarnya tiada beban cuma mereka aka nada tekanan apabila orang cakap itu ini. Perlu diingat bahawa setiap pemain tahu tanggungjawab mereka ke kejohanan untuk menang, jadi tak perlu ada mana-mana pihak termasuk peminat mengatakan mereka perlu menang itu dan ini,” kata Rexy lagi.

Selepas muncul juara dunia, Aaron-Wooi Yik tersingkir di separuh akhir Terbuka Denmark apabila tunduk kepada gandingan Indonesia, Marcus Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Pada Terbuka Perancis pula, mereka tewas seawall pusaingan pertama apabila dihantar pulang gandingan China, Liang Wei Kang-Wang Cheng.