KRISIS membabitkan tujuh pemain naturalisasi yang membawa kepada hukuman berat FIFA kini memasuki fasa lebih serius apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tampil memberi jaminan bahawa tiada sebarang usaha menutup kes dalam siasatan yang sedang berjalan.

Menurut artikel dari Free Malaysian Today (FMT), Anwar menyifatkannya kes ini sebagai “isu besar” dan kabinet sebulat suara mahu proses siasatan dibuat secara telus tanpa sebarang perlindungan.

“Kita putuskan, tiada cover-up. Teruskan siasatan. Ini pendirian kita,” tegas Perdana Menteri.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak mempertikaikan kredibiliti FIFA, namun kerajaan tidak akan bertindak semata-mata bersandarkan hasil siasatan badan dunia itu. Sebaliknya, siasatan dalam negara perlu dilengkapkan sebelum tindakan seterusnya diambil.

Anwar turut memahami kegelisahan rakyat yang mahukan tindakan segera, tetapi menegaskan proses perundangan mesti kukuh sebelum pendakwaan dibuat.

“Kita perlukan asas kukuh sebelum dakwa sesiapa,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar bersetuju dengan pendirian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bahawa FAM berhak untuk membawa rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) meskipun rayuan awal sudah ditolak pada 3 November lalu. Keputusan untuk meneruskan rayuan itu terletak sepenuhnya pada FAM selepas mendapat nasihat peguam.

Krisis ini meletus selepas FIFA mendapati FAM mengemukakan dokumen tidak sah berkaitan status datuk dan nenek tujuh pemain naturalisasi sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam pada 10 Jun. Siasatan FIFA menemui rekod asal menunjukkan datuk dan nenek pemain terbabit bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

Akibatnya, FAM dikenakan denda 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel turut dikenakan denda serta gantung setahun daripada semua aktiviti bola sepak.

Dengan tekanan rakyat, imej FAM yang tercalar, dan siasatan kerajaan yang sedang berlangsung, episod ini menjadi salah satu detik paling hitam dalam sejarah bola sepak Malaysia. Namun jaminan Perdana Menteri untuk tidak melindungi mana-mana pihak memberi isyarat jelas bahawa kes ini tidak akan disapu ke bawah karpet.