GELARAN pertama diraih beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sejak ‘rujuk’ semula dua bulan lalu, menepati ditetapkan jurulatih, apabila menjuarai saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang diletak selaku pilihan ketujuh kejohanan, 21-9, 21-10 pada final yang berlangsung di Mid-America Center di Council Bluffs, Iowa.

Kejohanan pertama selepas berpisah, gelaran pertama mereka raih… harap langkah kanan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani membawa kejayaan lebih besar.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap gelaran itu sebagai permulaan positif buat Izzuddin-Sze Fei yang kembali bergandingan selepas lima bulan ‘bercerai talak satu’.

“Saya percaya kejayaan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka untuk terus berjuang terutama bagi mengembalikan semula sentuhan mereka yang hilang selepas berpisah.

“Ini adalah satu permulaan yang baik untuk mereka. Saya harap mereka akan mengekalkan momentum ke kejohanan seterusnya,” kata Rexy.

Kejayaan pasangan ranking ke-53 dunia itu turut menyaksikan mereka menamatkan kemarau 31 tahun Malaysia mengungguli saingan beregu lelaki di Terbuka AS selepas kali terakhir dimenangi Datuk Cheah Soon Kit-Soo Beng King pada 1992.

Nur Izzuddin Rumsani (kiri) dan Goh Sze Fei (kanan) berpisah dan rujuk kembali.

Terbuka AS adalah kejohanan pertama buat Izzuddin-Sze Fei selepas mereka kembali ‘rujuk’ semula pada Mei lalu.

Pada Januari lalu, bekas juara Terbuka Jerman itu membuat keputusan untuk berpisah atas alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Bagaimanapun, empat bulan selepas itu, mereka kembali digandingkan bagi mengejar impian untuk memburu tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Izzuddin-Sze Fei selepas ini mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi saingan Terbuka Korea yang bermula esok.

Mereka dijadual menentang pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang pada aksi pusingan pertama.

Kembalinya Sze Fei-Nur Izzuddin, memeriahkan saingan beregu lelaki dunia dan pastinya akan memberi kelebihan kepada negara yang turut mempunyai Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun di kelompok 20 terbaik dunia.